Followers

Saturday, July 7, 2012

Aurat dan Pakaian Wanita: Satu Analisa Ke Atas Artikel “Memahami Aurat Wanita” karangan Zainudin Idris.



Dalam sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam bersabda:
 
الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ.
 
“Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan menghias-hiaskannya (untuk menarik perhatian lelaki).”
 
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi rahimahullah (279H) dan ia disahihkan oleh Syaikh Nashr al-Din al-Albani. [Shahih Sunan al-Tirmizi (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 2000) – hadis no: 1173] Hadis di atas memperjelaskan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
 
 “Dan janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” [Surah al-Nur 24:31]
 
Antara hukum yang dapat diambil daripada hadis dan ayat di atas adalah pemutlakan wanita sebagai aurat yang dengan itu dia wajib melindungi dirinya daripada dilihat oleh orang lain. Hukum ini merupakan kesepakatan umat Islam dari dahulu hingga kini. Akan tetapi mereka berbeza pendapat apakah anggota yang dimaksudkan dengan firman Allah:“kecuali yang zahir daripadanya”. Sebahagian ilmuan berpendapat ia adalah muka dan telapak tangan. Sebahagian lagi berpendapat ia adalah muka, telapak tangan dan telapak kaki. Sebahagian lagi berpendapat ia adalah bentuk badan wanita di mana sekalipun telah berpakaian yang menutup seluruh tubuh, secara zahir dia tetap dapat dikenali sebagai seorang wanita. Maka pengenalan berdasarkan zahir bentuk badan adalah sesuatu yang tidak dapat dielak, lalu dia tidak dihukum kerananya. Walauapa pun antara tiga pendapat ini, wilayah perbezaan ini adalah amat kecil dan ia tidak mencemari kesepakatan umat tentang batas aurat dan pakaian para muslimah.
 
Pada bulan Febuari yang lepas umat Islam Malaysia dikejutkan oleh sebuah artikel berjudul Memahami Aurat Wanita yang dimuatkan dalam majalah al-Islam dan akhbarMingguan Malaysia (15 Feb 2004). Artikel tersebut dipilih oleh Astora Jabat dan beliau mendakwa ia asalnya ditulis oleh seorang yang bernama Zainudin Idris. Artikel tersebut turut mendapat perhatian penulis. Ringkasnya ia mendakwa bahawa aurat yang wajib ditutup oleh kaum wanita mengikut syari‘at Islam hanyalah kemaluan depan dan belakangnya. Bahkan beliau menulis: “Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.”
 
Sejauh mana kebenaran artikel tersebut? Penulis tertarik untuk mengkaji dan menganalisanya. Artikel ini – alhamdulillah – adalah hasil kajian dan analisa penulis sekadar mampu. Sebelum ini penulis telah mengarang artikel seumpama dalam bentuk yang lebih ringkas dan dihantar ke beberapa forum di internet. Artikel tersebut telah berkembang luas dengan beberapa tambahan daripada orang lain, alhamdulillah.
 
Dalam mengusahakan artikel ini, ingin ditekankan bahawa yang menjadi tumpuan penulis ialah dalil dan metode perbahasan Zainudin Idris dan bukan peribadi beliau. Pendek kata bukan siapa yang menulis tetapi apa yang ditulisnya. Oleh itu metode perbahasan penulis dalam artikel ini ialah:
Mengemukakan (copy and paste) artikel Memahami Aurat Wanita oleh Zainudin Idris daripada laman Utusan Online bertarikh 15 Febuari 2004. Ini bertujuan memudahkan para pembaca yang tidak sempat membaca artikel tersebut sebelum ini. Kemudian penulis memberi nombor bagi setiap perenggan kerana analisa penulis ke atas artikel tersebut adalah berdasarkan perenggan demi perenggan.
Menukil seperenggan demi seperenggan daripada artikel Memahami Aurat Wanitadengan setiap nukilan disebut nombor perenggannya. Misalnya: “Disebut dalam perenggan pertama.”
Kemudian diikuti dengan analisa penulis, didahului dengan “Analisa.”
 
Walau pun penulis cuba untuk tidak mengkritik peribadi saudara Zainudin Idris, beberapa soalan tetap perlu difikirkan tentang siapakah “Zainudin Idris” pada asalnya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan persoalan ini menjadi penting:
Siapakah Zainudin Idris? Identiti Zainudin Idris tidak dikenali dalam dunia penulisan berhubung dengan isu keagamaan di negara ini. Menurut Astora Jabat dalam ruanganE-Mail Pembaca bertarikh 22 Februari 2004, Zainudin Idris adalah seorang guru yang mempunyai sekolah pondok sendiri di Kelantan. Benarkah demikian kerana sehingga kini kita tidak mengetahui kewujudan sebuah sekolah pondok yang mana anak-anak muridnya hanya berpakaian menutup kemaluan depan dan belakang sahaja.
Dalam ruangan Respons Pembaca edisi Al-Islam bulan April 2004, mukasurat 82, Astora Jabat telah meminta agar Zainudin Idris tampil kehadapan bagi membuktikan bahawa beliau adalah penulis asal artikel Memahami Aurat Wanita. Malah Astora sendiri mencadangkan agar Zainudin Idris mengemukakan gambar photonya atau membenarkan jurugambar Al Islam mengambil gambar beliau. Sehingga ke tarikh penulis (Hafiz Firdaus) mengarang artikel ini (15 Jun 2004), permintaan Astora Jabat di atas masih belum dikabulkan oleh Zainudin Idris. Semua ini mengarah kepada satu pertanyaan - Adakah “Zainudin Idris” benar-benar wujud?
Dua soalan pertama di atas mengarah kepada soalan ketiga, iaitu wujudkah kemungkinan bahawa ”Zainudin Idris” hanyalah nama samaran (nama pena) manakala orang sebenar di belakang nama tersebut ialah Astora Jabat sendiri? Dalam pelbagai forum perbincangan di alam maya (internet), majoriti berpendapat bahawa orang sebenar di belakang nama “Zainudin Idris” ialah Astora Jabat. Pendapat ini didasarkan kepada pelbagai kesamaan dalam metode perbahasan antara Astora Jabatdan Zainudin Idris. Dikatakan strategi Astora menggunakan nama “Zainudin” adalah untuk mengalih tumpuan pembaca dan menyelamatkan dirinya daripada dikritik hasil daripada artikel-artikel yang bakal dikemukakan.
Tiga persoalan di atas penulis serahkan kepada para pembaca untuk dianalisa dan dicarijawapannya. Sepertimana yang disebut sebelum ini, tumpuan penulis di sini ialah menganalisa dalil dan metode perbahasan pengarang artikel Memahami Aurat Wanita tanpa mengambil kira sama ada ia ditulis oleh saudara Zainudin Idris atau siapa jua. Berikut dikemukakan artikel Memahami Aurat Wanita oleh saudara Zainudin Idris.
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...